Cara-cara ke Perlis

PERLIS adalah negeri terkecil di Malaysia dan terletak di utara Semenanjung Malaysia. Ia bersempadan dengan negara Thailand di sebelah utara, Kedah di sebelah selatan manakala pantai barat pula mengadap Selat Melaka.

Untuk mereka yang ingin ke negeri Perlis untuk apa sahaja tujuan, terdapat 4 cara utama untuk ke negeri ini.

1. Pandu Sendiri

Lebuhraya Utara Selatan Exit 178

Bagi anda yang ingin memandu sendiri ke negeri Perlis, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sama ada dari arah selatan atau dari arah Bukit Kayu Hitam di utara.

Jika anda datang dari arah selatan, terdapat 2 susur keluar dari PLUS untuk ke Kangar iaitu susur keluar 177 (Exit 177) Alor Setar (S) dan susur keluar 178 (Exit 178) Alor Setar (U). Kedua-dua susur keluar ini akan melalui bandar Alor Setar, Kedah. Ikutilah papan tanda ke arah Kangar melalui Jalan Kangar-Alor Setar untuk meneruskan perjalanan ke Perlis.

Manakala, jika anda dari Bukit Kayu Hitam, keluar dari PLUS melalui susur keluar ke Kuala Perlis untuk masuk ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis (tiada tol). Selepas susur keluar tersebut, teruskan perjalanan ke arah Arau dan Kuala Perlis kira-kira sejauh 7.5 km untuk sampai ke sempadan negeri Perlis.

Untuk maklumat lanjut mengenai Lebuhraya Utara-Selatan, sila layari laman web PLUS Malaysia Berhad.

2. Bas Ekspres

Terminal Bas Ekspres Kangar

Terdapat 2 terminal bas ekspres iaitu Terminal Bas Ekspres Kangar dan Terminal Bas Kuala Perlis. Banyak syarikat pengusaha bas ekspres yang menyediakan perjalanan terus ke Kangar dan Kuala Perlis terutamanya dari Lembah Klang, Pantai Timur dan selatan Semenanjung Malaysia.

Jika anda turun di Terminal Bas Ekspres Kangar, terdapat perkhidmatan teksi di terminal bas yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi anda.

Jika anda ingin ke Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Perlis, pilihlah perjalanan dengan bas ekspres ke Kuala Perlis kerana jarak antara terminal bas dengan terminal feri hanya 300 meter.

Beli tiket feri ke Pulau Langkawi secara dalam talian di sini.

Homestay di Kangar

Homestay di Kuala Perlis

Homestay di Langkawi

3. Keretapi

Electric Train Service (ETS)

Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan keretapi oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk datang ke Negeri Perlis. Terdapat 2 stesen keretapi iaitu Stesen Keretapi Arau dan Stesen Keretapi Padang Besar.

Dengan adanya Perkhidmatan Keretapi Elektrik / Electric Train Service (ETS), perjalanan ke Perlis menjadi lebih selesa, cepat dan lancar. Ia hanya mengambil tempoh kurang daripada 6 jam untuk perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar.

Beli tiket keretapi KTMB ke Arau atau Padang Besar secara dalam talian di laman web KTMB.

Selepas anda turun di kedua-dua stesen ini, terdapat perkhidmatan teksi yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi anda.

Homestay di Arau

Homestay di Pdg. Besar

4. Kapal Terbang

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim

Negeri Perlis tidak mempunyai lapangan terbangnya sendiri. Lapangan terbang terdekat yang boleh digunakan sebagai perhentian terakhir untuk ke Perlis ialah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah yang terletak kira-kira 47 km dari bandar Kangar.

Apabila mendarat di lapangan terbang ini, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi untuk meneruskan perjalanan ke destinasi anda di negeri Perlis.

Syarikat penerbangan yang terbang terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar (AOR) ialah:

Malaysia Airlines

AirAsia

FireFly

Malindo Air